2 October 2015

Pengenalan Kaedah Pertanian Mampan - Siri 1

Pertanian Mampan/Lestari ataupun lebih dikenali dengan nama Natural farming merupakan kaedah pertanian mampan (sustainable) yang menekankan kaedah pertanian secara semulajadi tanpa penggunaan input (baja & racun) sintetik atau kimia. Pertanian Mampan dapat mengoptimumkan pengeluaran tanaman (atau ternakan) melalui kaedah pertanian yang mengekalkan keseimbangan nutrien dan meminimumkan sebarang kesan yang dapat menjejaskan alam sekitar.

Seperti juga manusia, tumbuhan memerlukan nutrien yang sesuai pada setiap tahap tumbesaran. Nitrogen semasa kecil, asid fosforik semasa remaja dan kalsium selepas matang. Jumlah makanan yang mereka perlu ambil juga sentiasa berubah, sama seperti bayi, kita tidak boleh terus memberikan  makanan orang dewasa kepada mereka bukan? konsep pertaniah mampan menekankan penggunaan baja yang sesuai, pada peringkat yang sesuai, dalam kuantiti yang sesuai. 

Dalam konsep pertanian konvensional ia merujuk kepada kaedah pertanian di mana penggunaan GMO (genetically modified organism), racun perosak kimia dan baja kimia dibenarkan di dalam proses pertaniannya. Kebanyakan buah-buahan/sayuran yang ada dipasaran dikeluarkan melalui kaedah pertanian jenis ini. Pertanian konvensional tidak mementingkan kelestarian alam, malah secara tidak lansung akan merosakkan keseimbangan alam sekitar akibat penggunaan bahan kimia yang berlebihan.

Berbanding dengan konsep Pertanian Mampan/Lestari, kaedah pertanian ini lansung tidak menggunakan apa-apa baja atau racun kimia/sintetik dalam proses pertaniannya, hanya bahan-bahan semulajadi dijadikan sebagai baja ataupun alat kawalan serangga perosak. Penggunaan bakteria setempat ataupun indigenous bacteria banyak digunakan dalam penghasilan baja. Pertanian jenis ini tidak merosakkan alam sekitar, malah ia menjadikan alam sekitar sebagai alat bantuan untuk menjadikan tanaman lebih subur.

Di dalam kaedah pertanian mampan, baja digunakan untuk menambah-baik keadaan medium tanaman ataupun tanah dan bukan untuk memberi nutrient terus kepada pokok. Dalam konsep pertanian mampan, keadaan tanah yang baik akan menghasilkan tanaman yang baik seterusnya memberikan pemiliknya hadiah yang tidak ternilai, iaitu sumber makanan yang bukan sahaja sihat dan bebas dari segala racun perosak yang bukan hanya telah/akan membunuh serangga perosak tanaman, tapi (mungkin) juga anda yang memakannya. 

Saya yakin pembaca blok ini juga merupakan seorang pekebun, tidak kira apakah status pekebun anda - pekebun yang mempunyai kebun berekar-ekar ataupun sekadar pekebun sambilan seperti PS. Marilah kita praktikkan teknik pekebunan mampan, yang ianya bukan sahaja dapat menjamin kesihatan kita malah yang lebih penting ialah kesihatan dunia yang kita sedang duduki, warisan pada anak cucu kita. Selamat berkebun sahabat sekalian.










No comments:

Post a Comment