3 July 2022

Tanam Strawberry Tanah Rendah || Low Land Strawberry

Petik strawberry di Cameron Highland

Untuk artikel pada kali ini Pekebun Sambilan (PS) nak share sikit tentang pokok baru yang PS tanam - Strawberry :) Sebenarnya sudah ramai pekebun-pekebun di luar sana yang telah berjaya menaman strawberry di Malaysia. Sepertimana yg kita maklum Cameron Highland adalah antara tempat popular yang mana kebanyakan strawberry di tanam di Malaysia. Begitu juga untuk strawberry tanah rendah, jika pembaca rajin tanya En. Google, belek-belek majalah dan surat khabar, memang sudah ramai pekebun-pekebun di luar sana yang telah berjaya menanamnya, malahan ada juga yang telah menjadikan strawberry tanah rendah ini sebagai sumber pendapatan mereka. 

Sebenarnya sebelum ini PS pernah mencuba untuk menanam strawberry yang di beli daripada Cameron Highland, tetapi gagal. Pokok pertama strawberry PS tu hanya bertahan selama lebih kurang dua minggu sahaja, sebelum pokoknya mati. Semanjak itu PS agak keciwa dan tidak mahu lagi untuk mencuba menanam strawberry. 

Minat untuk (mencuba) menanam kembali strawberry datang lagi apabila PS berkunjung ke rumah Mak Long PS yang berada di Felda Keratong, Pahang baru-baru ini. PS tengok Mak Long PS ni tanam strawberry macam tanam kangkong je, beliau tidak la menjaga pokok strawberry tu beria sangat, tanam dalam pasu belakang rumah, pasu pun letak atas pangkin bawah pokok (petai, kelapa & rambutan), guna tanah biasa saja, tapi pokoknya hidup dan siap boleh bagi (sedekah) anak pokok strawberry ke kawan-kawan beliau lagi. Tapi menurut beliau buahnya agak kecil berbanding strawberry Cameron, mungkin kurang baja katanya.

Setakat artikel ini ditulis - Julai 2022, pokok strawberry yang ambil dari Mak Long PS sudahpon berusia hampir dua minggu, dan masih lagi sihat dan bercambah (-cambah). Dari satu pasu, sekarang ini sudah ada tiga pasu!!! Alhamdulillah. Berikut adalah gambar strawberry PS. 

Pokok baru dari sulur 
Hujung daun seperti terbakar - mungkin terlampau panas

Pokoknya agak kecil lagi dan daunnya seperti terbakar kerana pada awalnya pokok ini terkena cahaya matahari petang (yg terik), lebih-lebih lagi pada musim kemarau/panas sekarang ini. Pada masa sekarang PS sudah alih ke lokasi yang kurang terkena cahaya matahari petang. Satu pantang-larang strawberry adalah crown-nya tidak boleh tertimbus tanah, akibatnya pokok boleh mati. Jika dilihat pada gambar di bawah pucuk muda kering/mati akibat PS tertimbus crownnya pada awal semaian/penanaman sulur, al-maklumlah baru mula belajar dan masih mencuba-cuba. 

Crown/pucuk tak boleh tertimbus - pokok boleh lemas 

Selepas ini InsyaAllah PS akan update perkembangan strawberry PS pada masa akan datang. Selamat berkebun dan stay save.

3 August 2021

Buah Naga, Dragon Fruit: Tahap Perkembangan Bunga (Buah)

Pada titipan kali ini Pekebun Sambilan (PS) akan berkongsi berkenaan Buah Naga ataupun Dragon Fruit yang PS tanam di dalam pasu (besar). Umur pokok kaktus ini lebih kurang satu tahun lebih. Di taman melalui kaedah keratan bantang yang diambil dari pokok jiran di kampong PS. Untuk post kali ini PS hanya akan berkongsi gambar-gambar degan sedikit caption dengan pembaca sekalian.


Putik Bunga Buah Naga 

Lelabah & Anak Naga



Putik Bunga Buah Naga - Baby & Anak Kecik :)

Dua hari sebelum mekar 

Panjang lebih-kurang 1 kaki

Bungan buah naga hanya akan Mekar/Kembang pada malam hari sahaja

Keesokan paginya - Masih mekar dan harum

Bunganya hanya bertahan 1/2 hari sahaja (Malam hingga awal Pagi) - Petang akan layu

Besar & Menawan

Tapi sayang!! - kembang tidak sampai sehari


Insya-Allah pada post yang akan datang PS akan berkongsi lagi berkenaan pokok buah naga PS. Untuk pengetahuan pembaca, sebenarnya pokok buah naga merupakan sejenis pokok KAKTUS. Buah naga yang kita makan sebenarnya adalah terhasil dari bunganya dan seterusnya menjadi buah. 

12 July 2021

 Penanaman Asparagus Di Malaysia (Update)


Pada catatan kali ini Pekebun Sambilan (PS) akan update mengenai pokok asparagus yang pernah PS tulis dalam titipan blog sebelum ini - pautannya. Setelah hampir dua tahun PS tak menulis dan update mengenai penanaman pokok asparagus di Malaysia, ada pembaca yang ingin mengetahui tentang perkembangan pokok asparagus PS.

Jika pada blog yang lepas PS baru sahaja berjinak-jinak dalam penanaman asparaus di tanah rendah, tetapi selepas hampir dua tahun berkecimpong dalam penanaman asparagus, boleh PS katakan - tidak mustahil, bahkan agak mudah menanam asparagus di Malaysia ini!!. Dalam artikel pada kali ini PS akan bincangkan mengenai penjagaan pokok, serangga perosak dan pantang larang pokok asparagus. Jom bincangkan.


Penjaggaan Pokok

Secara asasnya, amat mudah sekali penjagaan pokok asparagus - sama sahaja seperti anda menjaga pokok serai, kunyit, ulam raja, cili, atau (Yah) kuchai dan yang sewaktu dengannya - tanam & tinggal, yang penting kita jaga air, baja dan sedikit perapian pokok (buang ranting, daun yang tua/mati | merumput | pencahayaan)

Jika anda biasa menanam pudina, kang-kong, bayam-brazil, kailan atau sayur-sayuran yang lain - lagilah mudah menjaga asparagus, kerana menjaga sayur-sayuran lebih rumit berbanding pokok-pokok seperti serai dan ulam raja.

Tetapi bagi mereka hanya menanam pokok hiasan seperti pokok bunga atau kaktus - anda mungkin akan terasa sedikit susah kerana menanam sayur ataupun pokok untuk di makan agak rumit sedikit berbanding pokok hiasan - perlu jaga baja, serangga perosak, pencahayaan dan air yang lebih teliti. Tapi jangan risau! tidaklah susah manapon menanam pokok sayur, kerana anda sudah ada asas dalam penanaman pokok.


Serangga Perosak


Sepertimana yang PS sudah terangkan pada tulisan blog yang lepas, kita hanya makan rebung/sulur mudanya sahaja, jika sudah tua kambing pun tak nak makan. Seperti itu jugalah serangga perosak, kita hanya perlu berjaga-jaga untuk rebung dan pokok yang masih kecil sahaja, untuk pokok yang sudah matang atau besar kebiasaannya tiada serangga atau ulat yang sudi memakannya. Di bawah PS senaraikan empat jenis seranggga perosak yang ada di kebun PS.

**untuk pengetahuan pembaca, PS tak pernah menggunakan racun kimia untuk setiap tanaman PS, termasuklah untuk pokok asparagus. Kebiasaannya PS hanya menggunakan tangan untuk kutip dan hapuskan segala perosak tanaman secara manual :)

Ulat Bulu, Beluncas dan semua jenis Ulat-Ulatan

Kebiasaanya, ulat ini akan aktif pada waktu Malam & Awal Pagi. Ulat akan makan rebung dan sulur muda. 


Ulat Bulu & Ulat XXX?

Boleh Pembaca Tolong Komen Untuk Nama Ulat?. Ulat ini suka bertenggek di pokok dan memakan sulur dan daun muda.
 

Belalang

Kerosakan disebabkan belalang akan lebih parah mengikut kebesaran belalang, kalau kene belalang kunyit alamatnya selamat la asparagus kita. Yang lebih parah lagi belalang bukan sahaja makan rebung/sulur muda sahaja, malah daun dan ranting yang masih muda juga dikekahnya.


Siput

Pada pengalaman PS, siput merupakan musuh yang paling susah untuk di hapuskan kerana modus-operandi siput hanyalah pada waktu malam, amat susah untuk menghapuskan siput pada siang hari. Untuk siput kebiasaannya PS akan ambush pada waktu malam, kadang-kadang sampai berbelas-belas anak-anak siput babi dapat PS kutip dan hapuskan untuk satu malam. Tetapi teknik ini hanya sesuai untuk tanaman pada skala kecil. Jika kita kebun kita besar mungkin cara PS ini tidak sesuai.


Pantang Larang

Pada hemat PS yang baru dua tahun berkecimpong dalam penanaman asparagus tanah rendah ni, hanya satu sahaja pantang asparagus - PERSAIGAN. Jika anda mahu pokok asparagus yang di tanam hidup subur dan membesar bagai johan, JANGAN SEKALI-KALI TANAM POKOK LAIN DI SAMPING ASPARAGUS - kalau omputeh cakap, companion plants. Asparagus ni tak suka ber-Madu!!!

Pokok asparagus anda mugkin tidak akan mati jika anda memberikannya teman/madu, tetapi nanti penghasilan rebung atau sulur mudanya akan terbantut/kecil. Ini adalah melalui pengalaman PS sendiri dimana PS secara tidak sengaja tertanam pokok markisa di salah-satu tapak pokok asparagus. Akibatnya pokok asparagus PS (yang berkongsi tapak/tanah dengan markisa) mogok lapar dan hanya menghasilkan rebung yang kecil/kurus berbanding dengan asparagus yang sama umur dengannya. Tetapi setelah PS buang pokok markisa tersebut, asparagus PS mula mengeluarkan rebung/sulur muda yang lebih besar.  

Untuk pantang yang satu ini, bukan la kritical sangat, tapi adalah lebih baik untuk dielakkan - POLISTRIN. Disebabkan PS duduk di rumah teres, dan hanya ada tanah sekangkang kera, kebanyakan pokok-pokok PS di taman di dalam pasu dan ada juga yang PS tanam di dalam polistrin. Untuk pokok herbs dan sayur kebiasaanya tiada masah untuk kita tanam di dalam polistrin, kerana akarnya yang halus dan pendek. 

Tetapi tidak untuk pokok asparagus, jangan sekali-kali tanamnya di dalam polistrin kerana akarnya besar dan kuat akan menembusi polistrin dan menjalar (-jalar) keluar seperti gambar di bawah. Di sebabkan banyak akar yang keluar dari tanah dan tidak mendapat nutrient yang secukupnya rebung/sulur muda asparagus dari polistrin tidak sebesar rebung/sulur muda dari asparagus yang di tanam di tanah dan pasu, polibeg yang besar.   

Akar yang keluar dari polistrin. Akarnya banyak terputus kerana lokasi yang dekat dengan laluan manusia, kuching & basikal.

Sulur yang tidak berapa besar untuk asparagus yang sebaya dengannya.

Akar-akar asparagus yang menjalar keluar dengan jayanya!!!

Kesimpulan

Tidak mustahil dan agak mudah untuk menanam sayur exotique ini di iklim Malaysia kita. Yang penting hanyalah penjaggan yang sesuai dan rapi untuk setiap pokok. Pada masa sekarang sudah ramai pekebun yang telah berjaya dalam penanaman asparagus di Malaysia. Yang paling penting sekali di Malaysia kita boleh menikmati rebung asparagus sepanjang tahun, tidak seperti di negara empat musim.


** Part 1 : Penanaman Asparagus Di Malaysia

24 September 2019

Tangan Panas, Tangan Sejuk: Realiti atau Mitos??!!

Seringkali kenalan dan kawan-kawan Pekebun Sambilan (PS) yang berkunjung ke rumah akan mengatakan PS ni tangan sejuk, sebab dekat rumah PS banyak pokok-pokok yang menghijau dan rimbun - tapi depa tak tau, banyak juga pokok-pokok yang mati kering di sebabkan oleh tangan sejuk PS ni :) . Untuk artiklel kali ini PS nak bincang tentang mitos tangan panas dan tangan sejuk, betul ke?

Peribahasa omputeh ataupun idiom green fingers bermaksud seseorang yang pandai bercucuk tanam. Sepertimana juga kita orang Melayu simpulan bahasa tangan sejuk bermaksud, individu yang mempunyai kelebihan dan kepandaian dalam hal-hal yang berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan. Selalunya mereka yang rajin bercucuk tanam akan dikatakan bertangan sejuk. Manakala bagi mereka yang bertangan panas pula dikatakan sukar menanam pokok walaupun dijaga sebaik mana, pokok yang di tanam pasti akan mati dan tidak menjadi.

Sebenarnya tiada istilah tangan panas atau tangan sejuk - mitos sahaja!!, yang ada hanyalah ilmu mengenai teknik dan cara penanaman yang betul dalam memastikan pokok-pokok yang ditanam hidup segar dan subur. 

Kebiasaannya individu yang bertangan sejuk ni sinonim dengan orang yang rajin bercucuk tanam ataupun kepada mereka yang memang hobinya menanam tumbuh-tumbuhan, flora dan fauna serta yang sewaktu dengannya. Kesimpulannya mereka ini sememangnya minat dalam aktiviti bertani ataupun bercucuk tanam, tidak kiralah apa pon jenis tanaman; pokok bunga, pokok buah, pokok herba ataupon sebarang jenis tumbuhan hijau!.

Yang penting di dalam dunia ini adalah minat, bila kita minat sesuatu perkara, pastinya kita akan melakukan perkara yang kita minat itu bersungguh-sungguh. Sama seperti bercucuk tanam, jika seseorang individu itu minat bertani pastinya dia akan memperuntukkan sedikit masanya untuk memastikan tanaman yang di tamannya hidup dengan subur dan rimbun. Sebagai contoh; setiap hari selepas balik dari kerja pastinya si tangan sejuk ini akan membelek-belek pokok-pokoknya, di siram setiap pokok di sekitar rumah beliau, tidak cukup dengan itu, pada masa lapang si tangan sejuk pastinya akan melawat laman-laman sesawang dari dalam dan luar negara yang berkaitan pokok, tumbuhan mahupun pekebunan untuk menambahkan ilmu berkaitan minatnya itu. Disamping itu banyak juga buku-buku yang berkaitan dengan tumbuhan di borongnya semasa pesta buku.

PS percaya si tangan sejuk juga ada pengalaman-pengalaman hitam yang dialaminya dan menjadi pengajaran kepada beliau untuk lebih berhati-hati atas apa yang di tanamnya selepas ini. Seperti janganlah terlalu rajin menyiram pokok kaktus - akibatnya parah! mati pokok kaktus dek tersedak air. Begitu jika terlalu sayangkan pokok dan dibajanya setiap minggu, dengan anggapan pokok lebih cepat besar/berbuah/membiak - kalau salah langkah boleh keracunan makanan pokok tu nanti. Begitu juga dengan pokok-pokok yang mahal seperti pohon tin, ia memerlukan tanah yang sesuai jika tidak pelaburan beratu-ratus ringgit itu mungkin akan rugi seperti di scam - pohon tin tak boleh hidup di tanah yang tercemar dengan root knot nematode.  Bak kata pujangga "pengalaman mengajar kita erti kehidupan" , " tak cuba, tak tahu, dah cuba baru tahu" dan banyak lagi kata kata hikmah yang menyimpulkan bahawa dalam hidup ini bukan semuanya mudah seperti apa yang kita sangkakan.

Kepada individu yang ber"Tangan Panas" dan ingin menyejukkan tangan anda, nasihat PS, rajin-rajinkanlah diri dalam menambahkan sedikit ilmu berkaitan pertanian/pokok, dan bersabarkah jika pokok yang kita tanam tidak menjadi. Bak kata omputeh to err is human, cuba lagi dan jangan mengalah. InsyaAllah jika anda konsisten dan tidak putus asa, tangan anda yang panas itu akan bertukar menjadi sejuk :) Selamat bertani!!!

19 September 2019

Tanam Asparagus di Malaysia? Boleh Hidup ke!!?

Kali ini Pekebun Sambilan (PS) ingin membincangkan mengenai pokok asparagus atau lebih dikenali dengan panggilan asparagus sahaja. Secara amnya penanaman asparagus tidak berapa popular di Malaysia, oleh kerana kebanyakan kita (pekebun di Malaysia) beranggapan bahawa asparagus merupakan tanaman yang memerlukan kepada cuaca yang sejuk untuk hidup subur, dan tidak sesuai ditanam pada iklim tropika seperti di Malaysia. Memang benar asparagus berasal dari Eropah dan ia banyak di tanam di negara yang beriklim empat musim. Tak cuba mana nak tahu, dah cuba baru tahu..rupanya asparagus boleh di tanam di Malaysia.

Boleh ke tanam asparagus kat Malaysia?

Tahukah kita, bahawa pekebun di Malaysia terutama di Kundasang, Sabah yang telah lama menanam asparagus dan ianya berjaya serta dapat mengeluarkan hasil yang baik. Mungkin juga ada yang mengatakan bahawa Kundasang merupakan kawasan tanah tinggi dan sejuk, tentulah sesuai untuk tanaman asparagus. Tapi bolehkah kita taman asparagus di kawasan tanah rendah dan panas seperti di Kuantan, KL, Alor Setar, Kuala Kubu Baharu dan secara amnya di Malaysia?

Melalui bacaan dan kajian PS (yang tak berapa kukuh LR nya), pokok asparagus juga sesuai untuk di taman pada cuaca tropika Malaysia. Dan jika kita tinjau di negara jiran kita, Indonesia, di sana mereka telah mengusahakan ladang-ladang asparagus dan terbukti ianya dapat meghasilkan rebung asparagus yang dapat di pasarkan untuk pasaran domestik mereka.

Jika anda Google "Asparagus Malaysia", anda akan jumpa banyak blog ataupun laman sesawang yang menceritakan kejayaan pekebun-pekebun sambilan mahupun pekebun pro dari negara kita Malaysia yang telah berjaya menanam pokok asparagus.


Macam-mana bentuk pokok asparagus?

PS percaya semua rakyat Malaysia pernah lihat dan tahu pokok buluh kan? Tak kesahlah buluh lemang, buluh madu atau buluh pagar. Struktur pokok asparagus mirip seperti pokok buluh, ia tumbuh menegak dan daunnya keluar dari ruas-ruas batang pokok. Bezanya pokok buluh boleh mencapai ketinggian 10-15 meter tinggi, tetapi untuk pokok asparagus hanya tumbuh sekitar 2 meter sahaja. Gambar di bawah merupakan pokok asparagus PS yang baru berumur 2 bulan di tanam atas tanah.


Pokok asparagus yang berumur 2 bulan.
 
Bentuk daun seperti jejarum.

Cabang akan rumbuh di sekitar ruas-ruas batang

Daun pokok asparagus halus seperti jarum dan keluar bercabang diantara ruas-ruas batang pokok. Bergantung kepada umur dan jenis/baka pokok asparagus diameter batang pokok asparagus akan berbeza saiznya, kebiasaanya batang pokok sebesar ibu jari atau batang pensel akan menirus sehingga ke pucuk. Rujuk gambar di bawah untuk saiz batang pokok PS yang baru berumur 2 bulan (sudah sebesar batang pensel - bayangkan kira sudah berumur 2-3 tahun nanti)

Rebung asparagus PS yang bersaiz sebesar batang pencel


Asparagus yang dekat market/pasar tu tak sama pun macam pokok asparagus?

Sama seperti buluh (buloh??), kita hanya makan rebungnya sahaja, batang buluh yang keras tu kita tak makan dan tak boleh makan, boleh patah gigi kalau kita kekah batang buluh tu! Asparagus pun sama, kita hanya ambil rebung atau sulur mudanya sahaja sebagai makanan. Jika lambat diambil rebungnya atau sulur muda, ia akan jadi batang atau pokok yang keras dan tidak boleh di makan lagi. Sila bezakan rebung asparagus PS dan asparagus yang selalu kita lihar kat pasar, sama tak?


Sumber [https://www.tasteloveandnourish.com]

Mana nak dapat benih atau pokok asparagus?

Buat masa sekarang (September 2019), memang agak sukar untuk mendapatkan pokok asparagus dipasaran Malaysia, tetapi tidaklah mustahil untuk mendapatkannya. Anak pokok asparagus pertama PS dapatkan di nursery biasa sahaja yang menjual anak-anak pokok dan bunga-bungaan. PS beli anak pokok asparagus pada harga RM 15 se-pasu.

PS juga ada terjumpa anak pokok asparagus yg di jual di pasar tani sekitar Kuantan, Pahang. PS juga pernah jumpa  anak pokok asparagus di pasaraya TES*O di ibu kota. Anda juga boleh beli crown (akar) asparagus di pasar atas-talian (online shoping), sekarang sudah ramai orang Malaysia yang menjual anak pokok atau crown asparagus secara atas-talian.
**Cuma pesanan PS untuk yang beli atas talian kena berhati-hati takut-takut apa yang diiklankan tidak sama seperti apa yang bakal dapat nanti. Dan kepada penjual atas-talian, bersikap jujurlah ketika menjual barangan anda.

Anda juga boleh dapatkan biji benih asparagus dan semai sendiri untuk lebih penjimatan!! - yang penting anda kene tahu cara yang betul dalam menyemai biji asparagus.


Apa kelayakan PS untuk tulis artikel pasal asparagus ni, pandai sangat ke?

Sebenarnya PS pun baru saja berjinak-jinak dalam penanaman asparagus ni, setakat artikel ini ditulis, PS baru je 2 bulan (ya dua bulan bukan dua tahun) tanam asparagus, tak tahula boleh hidup ke tidak. Setidak-tidaknya PS ingin memberi semangat kepada pekebun-pekebun sambilan sekalian untuk terus mencuba benda baharu, kalau tak cuba kita tak tahu.

Insya-Allah dari masa ke semasa PS akan update perkembangan pokok asparagus PS dan juga perkembangan kebun sekangkan kera PS. Marilah kita mengHIJAUkan bumi ini. Selamat berkebun semua!!


2 October 2015

Pengenalan Kaedah Pertanian Mampan - Siri 1

Pertanian Mampan/Lestari ataupun lebih dikenali dengan nama Natural farming merupakan kaedah pertanian mampan (sustainable) yang menekankan kaedah pertanian secara semulajadi tanpa penggunaan input (baja & racun) sintetik atau kimia. Pertanian Mampan dapat mengoptimumkan pengeluaran tanaman (atau ternakan) melalui kaedah pertanian yang mengekalkan keseimbangan nutrien dan meminimumkan sebarang kesan yang dapat menjejaskan alam sekitar.

Seperti juga manusia, tumbuhan memerlukan nutrien yang sesuai pada setiap tahap tumbesaran. Nitrogen semasa kecil, asid fosforik semasa remaja dan kalsium selepas matang. Jumlah makanan yang mereka perlu ambil juga sentiasa berubah, sama seperti bayi, kita tidak boleh terus memberikan  makanan orang dewasa kepada mereka bukan? konsep pertaniah mampan menekankan penggunaan baja yang sesuai, pada peringkat yang sesuai, dalam kuantiti yang sesuai. 

Dalam konsep pertanian konvensional ia merujuk kepada kaedah pertanian di mana penggunaan GMO (genetically modified organism), racun perosak kimia dan baja kimia dibenarkan di dalam proses pertaniannya. Kebanyakan buah-buahan/sayuran yang ada dipasaran dikeluarkan melalui kaedah pertanian jenis ini. Pertanian konvensional tidak mementingkan kelestarian alam, malah secara tidak lansung akan merosakkan keseimbangan alam sekitar akibat penggunaan bahan kimia yang berlebihan.

Berbanding dengan konsep Pertanian Mampan/Lestari, kaedah pertanian ini lansung tidak menggunakan apa-apa baja atau racun kimia/sintetik dalam proses pertaniannya, hanya bahan-bahan semulajadi dijadikan sebagai baja ataupun alat kawalan serangga perosak. Penggunaan bakteria setempat ataupun indigenous bacteria banyak digunakan dalam penghasilan baja. Pertanian jenis ini tidak merosakkan alam sekitar, malah ia menjadikan alam sekitar sebagai alat bantuan untuk menjadikan tanaman lebih subur.

Di dalam kaedah pertanian mampan, baja digunakan untuk menambah-baik keadaan medium tanaman ataupun tanah dan bukan untuk memberi nutrient terus kepada pokok. Dalam konsep pertanian mampan, keadaan tanah yang baik akan menghasilkan tanaman yang baik seterusnya memberikan pemiliknya hadiah yang tidak ternilai, iaitu sumber makanan yang bukan sahaja sihat dan bebas dari segala racun perosak yang bukan hanya telah/akan membunuh serangga perosak tanaman, tapi (mungkin) juga anda yang memakannya. 

Saya yakin pembaca blok ini juga merupakan seorang pekebun, tidak kira apakah status pekebun anda - pekebun yang mempunyai kebun berekar-ekar ataupun sekadar pekebun sambilan seperti PS. Marilah kita praktikkan teknik pekebunan mampan, yang ianya bukan sahaja dapat menjamin kesihatan kita malah yang lebih penting ialah kesihatan dunia yang kita sedang duduki, warisan pada anak cucu kita. Selamat berkebun sahabat sekalian.