24 September 2019

Tangan Panas, Tangan Sejuk: Realiti atau Mitos??!!

Seringkali kenalan dan kawan-kawan Pekebun Sambilan (PS) yang berkunjung ke rumah akan mengatakan PS ni tangan sejuk, sebab dekat rumah PS banyak pokok-pokok yang menghijau dan rimbun - tapi depa tak tau, banyak juga pokok-pokok yang mati kering di sebabkan oleh tangan sejuk PS ni :) . Untuk artiklel kali ini PS nak bincang tentang mitos tangan panas dan tangan sejuk, betul ke?

Peribahasa omputeh ataupun idiom green fingers bermaksud seseorang yang pandai bercucuk tanam. Sepertimana juga kita orang Melayu simpulan bahasa tangan sejuk bermaksud, individu yang mempunyai kelebihan dan kepandaian dalam hal-hal yang berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan. Selalunya mereka yang rajin bercucuk tanam akan dikatakan bertangan sejuk. Manakala bagi mereka yang bertangan panas pula dikatakan sukar menanam pokok walaupun dijaga sebaik mana, pokok yang di tanam pasti akan mati dan tidak menjadi.

Sebenarnya tiada istilah tangan panas atau tangan sejuk - mitos sahaja!!, yang ada hanyalah ilmu mengenai teknik dan cara penanaman yang betul dalam memastikan pokok-pokok yang ditanam hidup segar dan subur. 

Kebiasaannya individu yang bertangan sejuk ni sinonim dengan orang yang rajin bercucuk tanam ataupun kepada mereka yang memang hobinya menanam tumbuh-tumbuhan, flora dan fauna serta yang sewaktu dengannya. Kesimpulannya mereka ini sememangnya minat dalam aktiviti bertani ataupun bercucuk tanam, tidak kiralah apa pon jenis tanaman; pokok bunga, pokok buah, pokok herba ataupon sebarang jenis tumbuhan hijau!.

Yang penting di dalam dunia ini adalah minat, bila kita minat sesuatu perkara, pastinya kita akan melakukan perkara yang kita minat itu bersungguh-sungguh. Sama seperti bercucuk tanam, jika seseorang individu itu minat bertani pastinya dia akan memperuntukkan sedikit masanya untuk memastikan tanaman yang di tamannya hidup dengan subur dan rimbun. Sebagai contoh; setiap hari selepas balik dari kerja pastinya si tangan sejuk ini akan membelek-belek pokok-pokoknya, di siram setiap pokok di sekitar rumah beliau, tidak cukup dengan itu, pada masa lapang si tangan sejuk pastinya akan melawat laman-laman sesawang dari dalam dan luar negara yang berkaitan pokok, tumbuhan mahupun pekebunan untuk menambahkan ilmu berkaitan minatnya itu. Disamping itu banyak juga buku-buku yang berkaitan dengan tumbuhan di borongnya semasa pesta buku.

PS percaya si tangan sejuk juga ada pengalaman-pengalaman hitam yang dialaminya dan menjadi pengajaran kepada beliau untuk lebih berhati-hati atas apa yang di tanamnya selepas ini. Seperti janganlah terlalu rajin menyiram pokok kaktus - akibatnya parah! mati pokok kaktus dek tersedak air. Begitu jika terlalu sayangkan pokok dan dibajanya setiap minggu, dengan anggapan pokok lebih cepat besar/berbuah/membiak - kalau salah langkah boleh keracunan makanan pokok tu nanti. Begitu juga dengan pokok-pokok yang mahal seperti pohon tin, ia memerlukan tanah yang sesuai jika tidak pelaburan beratu-ratus ringgit itu mungkin akan rugi seperti di scam - pohon tin tak boleh hidup di tanah yang tercemar dengan root knot nematode.  Bak kata pujangga "pengalaman mengajar kita erti kehidupan" , " tak cuba, tak tahu, dah cuba baru tahu" dan banyak lagi kata kata hikmah yang menyimpulkan bahawa dalam hidup ini bukan semuanya mudah seperti apa yang kita sangkakan.

Kepada individu yang ber"Tangan Panas" dan ingin menyejukkan tangan anda, nasihat PS, rajin-rajinkanlah diri dalam menambahkan sedikit ilmu berkaitan pertanian/pokok, dan bersabarkah jika pokok yang kita tanam tidak menjadi. Bak kata omputeh to err is human, cuba lagi dan jangan mengalah. InsyaAllah jika anda konsisten dan tidak putus asa, tangan anda yang panas itu akan bertukar menjadi sejuk :) Selamat bertani!!!

No comments:

Post a Comment